Selamat Tinggal 2015.

FOR ENGLISH VERSION, CLICK HERE

Selamat melangkah ke tahun 2016!
Macam biasa, blog aku ni payah nak stay up to date. Ingatkan bila dah tak kerja, mampu la jadi full time blogger. Rupanya meleset sungguh sangkaan aku, Dengan ini aku isytiharkan bahawasanya, aku selamanya a wannabe blogger.

Semua blog ngetop update blog mereka pada 1.1.2016 dengan rancangan dan azam. Aku pula, mengimbas kembali perjalanan hidup aku yang setahun sudah di belakang. Bukan apa, tahun 2015 agak istemewa bagi aku. Lain dari tahun tahun yang lain.

January 2015

Aku dan Mike membuka lebaran tahun 2015 dengan acara paling sederhana sekali. Tak ada countdown mahupun mengira bunga api. Aku dah masuk tidur seawal pukul 10 malam dan Mike lepak di ruang tamu menonton koleksi movie yang dia download. Sebenarnya aku agak sedih sebab aku bakal tinggalkan apartment kecil kesayangan aku dan berhijrah ke Amerika mengikut Mike. Tinggalkan kucing kesayangan, tinggalkan keluarga dan kawan kawan. Inilah keputusan dan pengorbanan yang paling besar aku buat dalam hidup aku. Sebab itulah tahun 2015 ni aku kata special sikit. Tahun pengorbanan. Tapi, tak macam orang lain, aku gigih hias apartment aku. Aku tukar cat dinding, pasang wall paper segala walau aku tahu aku nak tinggalkannya. Aku percaya setiap benda ada semangat dan rohnya. Dengan menghias apartment aku, lebih kurang aku berjanji dengan dia yang aku akan tetap kembali. Januari juga merupakan bulan kelahiran Mike. Tiada trip keluar negara mahupun sambutan eksklusif kali ini. Dengan rumah masih dalam proses cat semula, bagasi yang siap bersusun di ruang tamu, aku gagahkan jua mengadakan cup cake dan lilin sebagai sambutan hari kelahiran suami kesayangan aku ini.

Januari juga bulan aku mula mula sampai ke Mexico. Tak pernah terlintas di kepala otak aku akan sampai ke Amerika Tengah ini. Selalu tengok berita yang negara ini penuh dengan cerita mafia dan dadah. Tapi, semuanya buruk khabar dari rupa. Mexico saling tak tumpah macam bandar cinta Paris. Kami sambut ulang tahun pernikahan kami, 27 Januari, di bandar Mexico ini. Aku dan Mike sangat sangat suka dengan Mexico.

February 2015

Bermulalah hidup aku di perantauan secara rasmi. Aku rindukan nasi walau baru sehari aku berada di sini. Try sepeket masakan segera Asian dalam peket. Tapi resepinya mintak letak jem mentega kacang. Nak muntah aku makan. Aku tak nafikan aku punya masalah bab pemakanan masa mula mula sampai sini. Ak memang lupa yang Alaska bukan macam California, di mana, lambakan kedai Asian dan Pakistan ada di mana mana.Aku pulak tak lah beria bawak bekal rempah ratus dari Malaysia. Hanya tuhan yang tahu tekak Melayu aku terseksa.

Febuari bulan cinta. Mike belikan aku sejambak bunga. 24 Febuari merupakan ulangtahun resepsi kami di Alaska. Budaya mereka ialah makan kek kawin (yang paling atas) yang di simpan selama setahun dari tarikh resepsi dalam peti sejuk beku.

Alaska memang cantik. Terutamanya bila dilitupi salji. Kawan kawan semua cakap aku bertuah dengan peralihan fasa hidup aku ini. Jadi aku cuba jalani hidup aku sebagaimana tanggapan kawan kawan melalui gambar yang aku update di Instagram. Tapi…..

Ah, tak baik merungut nikmat yang Tuhan beri. Lagipun, aku berpegang yang tempat isteri adalah di sisi suami. Susah atau senang, selesa atau janggal.

March 2015

Tak banyak aktiviti di sini. Lagipun aku berada di sini bukan seketika seperti pelancong pun.Mike akan cuba bawa aku berjalan jalan mengenali bumi Alaska bila tiba hari rehat kerja. March 2015 aku saksikan perlumbaan Iditarod buat pertama kalinya. Selalu nampak anjing huskey dalam gambar dan tv sahaja. Kali ni, beratus Huskey pelbagai warna dan saiz di depan mata!

April 2015

Salji mula hilang dari bumi Alaska. Yang tinggal hanya angin dingin dan sisa tanah yang basah. Mike cuba mengisi kebosanan aku dengan membawa aku melihat kawasan glacier di Matanuska dan tasik tasik indah di sekitar bandar berdekatan.

May 2016

Bulan Mei merupakan permulaan cuaca yang paling selesa sekali di Alaska. Matahari terik dengan siang yang panjang. Pokok tumbuh menghijau bak hutan Amazon. Rakyat jelata sudah mula makan minum di luar rumah. Menikmati sinar matahari bagai tiada hari esok. Tanam pokok bunga, ber camping, memancing dan sebagainya. Bulan Mei ini lah azam aku dididik dan diduga. Mike bawak aku daki Lazy Mountain. Kalau orang lain mampu menghabiskan pedakian dalam masa 4 jam, aku pulak seharian, dengan air mata. Tapi aku tetap berbangga dengan pencapaian terbaru diri aku ni.

June 2015

Berdebar menunggu rasa berpuasa di negara asing. Tanpa ayam percik dan manisan kuih melayu sebagai juadah berbuka. Sebelum Ramadan, Mike bawak aku bermalam di luar rumah, di tengah hutan berpinggirkan tasik dengan Motorhome untuk pertama kalinya. Aku tak nafikan, aku mula suka dengan alam semulajadi. Kalau dulu, di Kuala Lumpur, hujung minggu aku habiskan di shopping mall sahaja

July 2015

Kawan kawan bersimpati dengan kerinduan Melayu ini terhadap kehidupan biasa dibumi tropika. Lalu aku terima bungkusan rempah ratus segera sebagai pengubat jiwa. Terima kasih semua. Walau agak cemburu dengan gambar juadah mewah serta resepi dari dapur kawan kawan di Facebook, tapi aku tak pernah lupa bersyukur berpuasa dalam cuaca nyaman dingin, duduk rumah tak perlu keluar bekerja. Hari Raya paling asing di bumi Alaska. Pertama kali aku sambut Aidilfitri tanpa takbir raya. Mike bekerja dan pagi raya aku hanyalah kopi dan roti biasa.

Kawan kawan rancak update gambar tema hari raya pelbagai warna. Aku cuma tunggu Mike balik kerja untuk makan malam bersama sama. Makan malam aidilfitri agak istimewa juga. Pertama kali dapat makan kaki King Crab panjang sedepa!

Mike belikan tiket untuk aku balik raya. Tapi sebelum tu dia ambik cuti panjang dan bawak aku berjalan ke bandar Seward. Pengalaman daki bukit pegang ketulan glacier di hari raya ke lima memang aku takkan lupa. Rasa macam honeymoon pun ada. Walau tarikh balik ke Malaysia tinggal beberapa hari saja, dalam gembira, aku sedih untuk berpisah dengan Mike walau hanya seketika. Sekarang aku faham perasaan Mike tiap kali tiba hari dia tinggalkan Malaysia masa kami dating dan tahun pertama menikah tapi aku keberatan untuk tinggalkan Malaysia.

Aug and september 2015

Aku kembali ke Malaysia!Uishh seronok tak terkata. Sampai sampai saja bantai Nasi Beriyani di JM Briyani. 20 jam siang matahari di Alaska tetap tak sama dengan matahari di Malaysia. Book tiket dan bersuka ria berjemur dengan sahabat kesayangan di Redang. Bulan ni memang langsung tak mau tengok penimbang berat badan. Nak makan semua yang ada. Setiap hari, jumpa kawan kawan baru dan lama. Lepak kampung, bantai petai jeruk berbotol botol.

Bulan ni memang sedih dan ceria. Bitter sweet gitu. Ibarat nama blog aku ini lah. Aku dapat tahu yang aku mengandung usia 4 minggu. Tapi dalam masa yang sama jugak, aku dapat tahu kandungan aku luar rahim. Pengalaman masuk bilik operation memang menginsafkan. Rezeki belum ada, kata orang. Berpantang sebulan tanpa aktiviti lah juga. Luka perut ditebuk 3 lubang ni rupanya lebih seksa dari beranak biasa.

october 2015

Asalnya balik Malaysia sebulan saja. Sekarang dah jadi 3 bulan. Mike menyusul ke Malaysia yang tebal berjerubu untuk bawa aku pulang ke Alaska. Sempatlah juga Mike jalan ke Kuala Terengganu makan sotong celup tepung Pok Nong tersedap di dunia tu. Jemputan kenduri bertunang dan kahwin sahabat handai semua kami penuhi.

Oktober memang bulan ceria. Aku berpeluang bertemu mata dengan adik beradik berlainan ibu buat pertama kalinya. Mike pun sekali. Baru dia tahu, keluarga aku teramatlah besar. Aku ada berbelas kakak dan abang kandung tahu? Hahaha.

Buat pertama kalinya, aku buat makan makan dekat rumah apartment kecik aku tu. Aku memang sentiasa berangan memasak jamu kawan kawan. Dan aku berjanji akan adakan setiap tahun jika diizinkan Tuhan.

Bulan Oktober ni juga aku dengan Mike sampai ke South Korea. Kami melawat bandar K-Pop, Seoul, menikmati keindahan alam semula jadi di Pulau Jeju dan sempat pula lihat pesta bunga api di Busan sepanjang 10 hari kami dekat sana. Tiba di Los Angeles, kami melawat San Francisco dan mengukir kenangan di sepanjang Lebuhraya Pacific Coast, California.

November 2015

Kembali ke bumi Alaska. Memang tak ada aktiviti langsung sepanjang bulan November ni. Macam beruang kutub selatan, aku start berhibernasi. Sejuk bersalji lah katakan. Untuk pertama kali selama 5 tahun ni, sambutan bulan kelahiran aku biasa biasa saja. Duit Mike dah habis bawak aku berjalan di South Korea dan San Francisco. Kira advance birthday trip lah kan. Tapi aku tak kisah pun. Ada hadiah atau tak ada, ada acara sambutan atau tak ada, aku memang tahu Mike akan berhabis untuk aku bila dia ada duit lebih. Tak perlu tunggu hari lahir. Mak mertua surprise kan dengan birthday cookie untuk aku. November 2015 juga merupakan tahun pertama aku berpeluang melalui pengalaman sambutan Thanksgiving di Amerika. Dan hadiah bulan kelahiran aku tahun ni sangat istimewa. Alam semulajadi hadiahkan aku kelibat Aurora Borealis di langit, dia datang sendiri, dekat belakang rumah saja. Kiranya ini kali pertama aku lihat Aurora Borealis tanpa perlu mencari dan menunggu seperti orang lain.

December 2015

Disember tahun ni agak kekurangan salji. Sekejap ada, sekejap, tak ada. Maksud aku depan rumah lah. Kalau pegi ke kawasan gunung dan hutan, ada je. Mike dah start masuk kerja balik. Terkebil kebil aku dekat rumah buat buat rajin mencuba resipi resipi ringkas. Aku berazam dah tak mau melalak meroyan rindu masakan melayu sedangkan bersepah barang makanan dekat dapur mertua aku ni. Ada orang, dapat makan pun belum tentu. Aku kena paksa diri adapt dengan persekitaran. Lagipun kan, hari tu aku masak kari ayam. Sedap la sebab aku guna rempah kari Babas. Sejam lepas tu aku macam nak pitam pedih perut nak muntah. Oh, rupanya, dah nak cukup tahun 2015 ni, aku start tak boleh makan kari. Angin satu badan. Elok lah.

Bulan ni jugak aku berpeluang melihat sambutan perayaan krismas keluarga suami dan rakyat Amerika ni. Baru aku tahu, orang Malaysia lagi beria sambut Krismas dari orang dekat sini walaupun dekat sini sah sah ‘white christmas’ (bersalji). Lampu liplap dan pokok berhias tu memang lah setiap rumah ada. Biskut raya semua memang mak mertua aku ada buat. Menantu dia (suami kakak Mike) pun ada buat sumbangan berjaga malam bakar biskut cara dia. Aku pun ada la tolong memperbanyakkan jenis biskut dengan cuba resipi baru biskut coklat. Nasib baik sedap dan habis licin di makan semua orang.

Macam jakun aku membelek hiasan pokok krismas rumah ni. Ada yang berusia lebih 40 tahun. Setiap barang yang digantung ada cerita dan kenangan disebaliknya. Dan, buat pertama kalinya, aku dapat banyak hadiah, (mungkin paling banyak) di pagi Krismas. Mak mertua bagi 2, bapak mertua bagi 1, biras bagi 1 dan Mike bagi 3. Total semua 7. Alhamdulillah. Disayangi.

So, itu je lah perjalanan hidup aku sepanjang 2015. Tak lah menarik macam korang semua. Aku tak ada kenaikan pangkat mahupun kenaikan gaji. Bonus jauh sekali. Tapi, 2015 ni memang hidup aku sangat lain dari tahun tahun sebelumnya. Lebih tenang. Aku tak sangka yang bebelan dan impian aku untuk bersara di usia 40, akhirnya jadi kenyataan. Tak ada lah bersara dengan style, harta menggunung. Tapi, aku bersara dari perkerjaan 9-5/ 5 days a week. Dan Mike sokong setiap apa percubaan dan hobi aku cuba buat walau tak menjana pendapatan walau sesen pun. Kebahagiaan dan ketenangan hati tu amat penting bagi dia dan kini dia mengajar aku tentang itu.

Sekiranya tahun 2016 aku nanti tidak semeriah orang lain, aku tetap bersyukur dengan kemampuan aku untuk bernafas sepanjang tahun ni.

Write it on your heart that every day is the best day in the year.- Ralph Waldo Emerson

 

 

Comments

comments

Leave a Reply